Suatu waktu di ketika mana tidak sesiapa ketahui, seurat nyawa yang tercipta hasil dari bendalir seketul-seketul zarah ditiupkan roh dan dilahirkan di muka bumi. Di mana segala jalan takdirnya telah disusun dan tercatat pada ‘Luh-Mahfuz’. Di mana satu perjanjian telah terikat pada yang Maha Esa tentang mengabdikan diri terhadapNya. Kemudian lahirlah tubuh si kecil tidak bewarna ini tanpa mengingati segala tersebut dan dilihat sebagai satu anugerah oleh orang tuanya.
Bertuah benar si kecil ini sehingga didodoi dan dipupuk bagai menatang minyak yang penuh. Diberi nama seindah syurga dan dipanggil-panggil pula. Dilimpahi segala kasih sayang si dunia yang hodoh. Si kecil yang putih bersih ini mula melihat aneka warna dunia di matanya yang menarik perhatian. Malangnya, warna-warna yang dilihat adalah warna dusta dunia yang hodoh yang sering dipergunakan iblis untuk mempersendakan manusia. Sememangnya si kecil ini telah lupa pada janjinya suatu ketika dahulu.
Si kecil ini kemudiannya semakin membesar dan menyukai warna-warna hodoh dunia ini. Sehinggalah semakin menginjak remaja, si kecil yang dahulunya sangat putih kini telah amat menggemari warna-warna hodoh yang tecalit pada dirinya. Dirinya kini telah tercemar dengan pelbagai warna dunia yang buruk. Dan dengan semangat yang dihembus si dunia hodoh, si kecil yang tidak lagi kecil ini sibuk membuat penyelidikan mencari warna-warna dunia. Sibuk mengejar bahagia dunia yang busuk dan hodoh warnanya.
Entahkan jumpa entahkan tidak pencariannya. Si kecil yang dahulunya kecil telah meningkat dewasa pula. Tetapi masih lagi mencari warna sebenar dirinya. Masih keliru warna yang mana yang cantik dan sesuai untuk dipalit dan dipakai pada dirinya, juga pada hatinya.
Si kecil yang dahulunya kecil ini kemudiannya menjadi keliru tentang warna-warna yang dikutipnya sebelum ini. Kelihatan hodoh pula dimatanya. Ingin dipadamkan semula segala warna tersebut yang sememangnya hodoh yang telah terlukis pada dirinya. Kotor dan jijik dirasakan. Seolah-olah warna dunia ini adalah paling hitam yang paling sukar dipadam. Ingin dirinya dicorakkan dengan warna-warna baru agar kelihatan cantik. Ingin jauh dari si dunia yang hodoh ini.
Teringat pula si kecil yang telah dewasa ini pada janjinya untuk mengabdikan diri pada Penciptanya suatu ketika dahulu. Teringin pula dirinya untuk menunaikan janji tersebut yang sememangnya si kecil yang tidak kecil ini tahu bahawa perjanjian itu adalah tanggungjawab yang harus dipikulnya setelah dilahirkan ke atas dunia yang hodoh ini.
Setelah pelbagai warna yang melekat pada dirinya, amat payah rasanya untuk dibersihkan semula. Ingin pula si kecil yang dewasa ini menjadi si kecil yang putih seperti awalnya dahulu. Sepertimana sebelum dirinya dilekapkan pelbagai aneka warna si dunia yang hodoh lagi buruk. Malangnya, perkara itu adalah perkara yang paling jauh dari si kecil yang dewasa kini.
Si kecil yang tidak lagi kecil ini merasakan ini adalah takdirnya yang telah tercatit dan dirinya mula belajar satu-persatu. Dengan cara ini, sesungguhnya si kecil yang dewasa kini dapat mencari warna yang patut dicorakkan pada dirinya dengan menggunakan jalan tersebut, iaitu kembali menunaikan janjinya terhadap Pencipta alam semesta. Si kecil yang kini bagaikan si kecil semula juga mula belajar meninggalkan si dunia yang hodoh sedikit demi sedikit yang sebelum ini boleh dikatakan telah sebati dengan dirinya. Sehingga kini si kecil yang tidak kecil ini masih lagi berusaha, membuang dirinya dari diri.